comscore
Tumpuan :
Dunia

Biden gesa Kongres ketatkan syarat kawalan senjata api

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menggesa Kongres mengetatkan langkah-langkah kawalan senjata api ketika keganasan akibat penggunaan senjata api semakin meningkat di negara itu.

Biden pada Ahad berkata sekurang-kurangnya empat orang terbunuh semasa majlis hari jadi seorang remaja di Dadeville Alabama pada malam Sabtu. Dalam satu lagi kejadian tembakan pada hari yang sama, dua terbunuh di taman awam di Louisville, Kentucky.

“Senjata api merupakan pembunuh utama kanak-kanak di Amerika, dan jumlahnya semakin meningkat … tidak berkurangan,” kata Biden dalam kenyataan pada Ahad, susulan insiden keganasan senjata api pada hujung minggu ini.

Beliau berkata, keadaan itu “keterlaluan dan tidak boleh diterima” dan bahawa “orang Amerika bersetuju dan mahu penggubal undang-undang melaksanakan pembaharuan keselamatan senjata api yang munasabah.”

Biden juga mengkritik parti Republikan kerana menghadiri konvensyen Persatuan Rifle Kebangsaan (NRA) pada Jumaat di tengah-tengah lonjakan keganasan membabitkan senjata api. Konvensyen di Indianapolis itu dihadiri oleh Bekas Presiden AS Donald Trump.

“Kongres mempunyai kuasa untuk menetapkan keselamatan penyimpanan senjata api, menetapkan pemeriksaan latar belakang untuk semua penjualan senjata api, menghapuskan imuniti pengeluar senjata api daripada liabiliti, dan mengharamkan senjata serangan dan peluru berkapasiti tinggi yang ini perlu dilakukan tanpa berlengah-lengah,” tegas Biden.

Pada musim panas lalu, Biden menandatangani rang undang-undang kawalan senjata bipartisan yang memperluas pemeriksaan latar belakang pembeli senjata api di bawah 21 tahun, mengukuhkan undang-undang terhadap penyeludupan senjata dan amalan pembelian senjata oleh mereka yang dilarang membeli senjata api, dan menambah pembiayaan untuk sistem kesihatan mental AS.

Kebuntuan Kongres dalam usaha mengawal senjata terlerai berikutan kes tembakan besar-besaran di sebuah sekolah rendah di Uvalde, Texas, yang menyebabkan 19 kanak-kanak dan dua guru maut.

Awal bulan ini, lima orang disahkan maut dalam insiden tembakan di sebuah bank di pusat bandar Louisville, Kentucky. Penembak merupakan pekerja bank itu.

Pada 27 Mac, seorang penembak wanita berusia 28 tahun, melepaskan tembakan di The Covenant School di negeri Tennessee menyebabkan tiga kanak-kanak berusia 9 tahun dan tiga kakitangan maut, termasuk guru, sebelum ditembak mati oleh polis. – BERNAMA-SPUTNIK

Loading...
Terkini