comscore
Tumpuan :
Luar Negara

New York banjir

NEW YORK: Hujan berterusan sejak Jumaat lalu menyebabkan New York dilanda banjir kilat.

Ini merupakan ‘kebiasaan baharu’ ekoran kesan perubahan iklim.

Gabenornya Kathy Hochul, mengeluarkan amaran itu pada Sabtu, apabila banjir di negeri terbabit mulai surut selepas menerima taburan hujan yang lebih tinggi berbanding kebiasaannya.

“Ini sesuatu yang malang bagi kita kerana fenomena bencana alam seperti ini akan menjadi kebiasaan baharu di New York, namun kali ini tiada kematian dilaporkan.

“Perisytiharan darurat, yang dapat mempercepatkan agihan bantuan bagi menangani krisis, akan berkuat kuasa selama enam hari,” katanya.

Hampir 20 sentimeter (sm) hujan diterima di sesetengah bahagian di bandar berpenduduk paling padat di Amerika Syarikat (AS) itu, menyebabkan paras air naik cukup tinggi sehingga singa laut di Zoo Central Park berenang keluar dari kolam yang menempatkannya.

Walaupun bahaya banjir sudah berkurangan menjelang tengah hari semalam, sebuah hospital awam di Brooklyn memaklumkan semua pesakit dan stafnya akan dipindahkan berikutan ketiadaan bekalan elektrik sejak Jumaat lalu.

NYC Health + Hospitals/Woodhull beralih kepada bekalan janakuasa sampingan selepas terputus bekalan elektrik Jumaat lalu tetapi kerja pembaikan memerlukan bekalan elektrik dihentikan sama sekali selama beberapa hari, menurut pegawai hospital.

Hospital berkenaan memindahkan 120 pesakit ke hospital lain pada Sabtu, suatu proses yang dijangka mengambil masa sehingga lapan jam.

Hujan yang terlalu lebat turut menyebabkan beberapa jalan bertukar menjadi ‘sungai’, menyebabkan bas dan kereta terkandas selama beberapa jam serta memaksa laluan kereta api bawah tanah dan komuter ditutup.

Beberapa penerbangan juga terpaksa dibatalkan atau ditangguhkan di Lapangan Terbang LaGuardia, di mana sebuah terminal dikososngkan sepenuhnya selepas dinaiki air.

Presiden AS, Joe Biden, diberi taklimat mengenai banjir pada Jumaat dan Sabtu lalu, dengan Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan bersedia untuk membantu jika diperlukan, menurut Rumah Putih.

Jumaat lalu, Hochul mengisytiharkan darurat di seluruh New York City, Long Island dan kawasan sekitarnya selepas ribut yang membawa hujan lebat membanjiri laluan kereta api bawah tanah dan jalan raya serta memaksa penerbangan ditangguhkan.

Ribut Ophelia membawa hujan lebat ke New York City menyebabkan banjir kilat di beberapa bahagian bandar itu.

Pemantauan banjir berkuat kuasa sehingga 6 pagi Sabtu untuk seluruh New York, New Jersey dan Connecticut – dengan kadar hujan dijangka empat hingga lapan sm sejam.

Beberapa laluan kereta api bawah tanah terutama di Brooklyn digantung pada pagi Jumaat disebabkan stesen dinaiki air.

“Perkhidmatan kereta api bawah tanah terhad kerana banjir besar. Perkhidmatan digantung di banyak stesen,” menurut Pihak Berkuasa Pengangkutan Metropolitan dalam hantaran di X.

Sebahagian kawasan di New York City menerima hujan 20sm setakat 11 pagi Jumaat, dengan Central Park menyaksikan hujan lebih banyak sejak Taufan Ida melanda dua tahun lalu. – AGENSI

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini