comscore
Tumpuan :
Dunia

Cuaca ekstrem Artik: 18 maut, lebih 700,000 penduduk AS terputus bekalan tenaga

AMERIKA SYARIKAT: Lebih 700,000 penduduk Amerika Syarikat (AS) terputus bekalan elektrik, manakala 18 maut akibat nahas kenderaan berkaitan cuaca dengan ribuan penumpang terkandas akibat pembatalan penerbangan, berpunca daripada cuaca ekstrem Artik.

Kejatuhan suhu dijangka membawa malam Krismas paling sejuk yang pernah direkodkan menyebabkan sistem tenaga di seluruh negara tertekan akibat peningkatan penggunaan haba dan kerosakan jana kuasa akibat ribut.

Angka gangguan terkini menurun daripada 1.8 juta rumah dan premis perniagaan AS yang terputus bekalan elektrik pada awal pagi semalam.

Banyak syarikat elektrik terus meminta pelanggan untuk menjimatkan penggunaan tenaga dengan tidak menghidupkan peralatan besar dan mematikan lampu yang tidak diperlukan.

Gangguan bekalan tenaga itu mengubah rutin harian dan rancangan percutian untuk jutaan rakyat AS ketika tempoh perjalanan paling sibuk pada tahun ini.

Menurut perkhidmatan pengesanan penerbangan FlightAware, lebih 2,700 penerbangan AS dibatalkan semalam, dengan jumlah kelewatan itu mencecah lebih 6,400.

Kelmarin, lebih 5,000 penerbangan dibatalkan. Persatuan Automobil Amerika juga menganggarkan 112.7 juta orang akan meneruskan perjalanan sejauh 80 kilometer atau lebih dari rumah antara kelmarin hingga dan 2 Januari.

Bagaimanapun, ribut menjelang hujung minggu menyebabkan ramai penduduk kekal di rumah.

Menurut laporan media, kemalangan kereta berkaitan cuaca di seluruh negara juga mengakibatkan sekurang-kurangnya 18 maut selain ratusan lagi terkandas di atas ais dan jalan bersalji. – REUTERS

Loading...
Terkini