comscore
Tumpuan :
Dunia

Google, Meta, Apple didakwa ‘ejen’ intipan AS

WASHINGTON: Amerika Syarikat yang menuduh China menggunakan aplikasi TikTok untuk mengintip rakyatnya, kini berdepan tuduhan menggunakan aplikasi di platform Google, Meta dan Apple untuk tujuan sama.

Al Jazeera melaporkan, ketika Amerika Syarikat mempertimbangkan pengharaman aplikasi TikTok yang digunakan oleh lebih 150 juta rakyatnya itu, Kongres undang-undang turut mempertimbangkan kuasa memaksa firma seperti Google, Meta dan Apple untuk memudahkan pengintipan tanpa halangan terhadap warga bukannya di luar negara.

Seksyen 702 Akta Pengawasan Perisikan Asing (FISA) yang bakal diluluskan dan dijangka memberi kebenaran menjelang Disember ini bagi membenarkan agensi perisikan Amerika Syarikat menjalankan pengintipan tanpa waran ke atas e-mel, telefon dan talian komunikasi rakyat asing.

Walaupun rakyat negara berkenaan mempunyai perlindungan terhadap carian tanpa waran di bawah Pindaan Keempat Perlembagaan AS, kerajaan AS menegaskan hak itu tidak diberikan kepada warga asing di luar negara.

Pada hakikatnya, undang-undang itu memberi Agensi Keselamatan Negara (NSA), Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Agensi Perisikan Pusat (CIA) kebebasan untuk mengintip dan menyerahkan maklumat kepada sekutunya seperti United Kingdom (UK) dan Australia.

Walaupun perkara biasa bagi kerajaan untuk mengintip di luar negara, Washington menikmati kelebihan tidak dikongsi dengan negara lain iaitu bidang kuasa mutlak ke atas syarikat internet moden seperti Google, Meta, Amazon dan Microsoft.

TikTok yang dimiliki syarikat China, ByteDance, menjadi isu apabila ia didakwa berupaya mengintip dan mengakses data pengguna di Amerika Syarikat.

Pendedahan terbaru ini menunjukkan Amerika Syarikat mempunyai agenda tersendiri dalam usaha memastikan semua saluran media sosial di negara itu kekal di bawah kawalan kerajaan.

Data yang hanya diperoleh setakat 2021, menunjukkan Amerika Syarikat menyasarkan 232,432 individu ‘bukan warganya’ untuk pemantauan, berdasarkan data kerajaan.

Loading...
Terkini