comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Model iPhone baharu menjadi lebih panas, Apple akui kenal pasti masalah itu

CALIFORNIA: Apple sudah mengenal pasti beberapa isu yang menyebabkan iPhone model baharunya menjadi lebih panas daripada dijangkakan.

Ini termasuklah pepijat dalam perisian iOS 17 yang akan ditambah baik dalam keluaran akan datang.

Dalam kenyataannya semalam, Apple memaklumkan tindakan diambil selepas menerima aduan mengenai model telefon pintar baharu itu yang cenderung untuk menjadi sangat panas.

Apple berkata, keadaan berkenaan mungkin berlaku dalam tempoh beberapa hari terawal penggunaannya buat kali pertama atau mengisi semula kandungan peranti kerana terdapat aplikasi menjalankan tugasan yang berat.

“Isu lain yang timbul adalah beberapa kemas kini kepada aplikasi pihak ketiga yang menyebabkan sistem tertekan akibat beban berlebihan,” katanya.

Apple memperkenalkan siri iPhone 15 pada 12 September lalu dan seperti biasa model yang diperkenalkan akan mendapat perhatian.

Namun, menurut beberapa pengguna, iPhone 15 Pro mereka mengalami isu kepanasan dengan sesetengah pengguna menyiarkan video yang menunjukkan bahawa iPhone 15 Pro mencapai suhu sekitar 42 darjah Celsius.

Terdapat kes di mana ia mencapai suhu yang dinyatakan selepas hanya dua minit perbualan FaceTime atau penggunaan Instagram Reels antara lapan hingga 10 minit dan menjadi terlalu panas untuk dipegang.

Sesetengah pengguna juga mendakwa telefon menjadi panas apabila tidak digunakan, selain terdapat dakwaan telefon terlalu panas semasa mengecas.

Pengguna juga mengadu mengenai telefon memasuki mod perlindungan dan menghentikan pengecasan kerana haba semasa mengecas, namun perlu diingatkan bahawa tidak semua pengguna mengalami masalah sama.

Bilangan aduan menunjukkan mungkin terdapat masalah dengan siri iPhone 15 Pro yang menggunakan cipset A17 Pro.

Sementara itu, Apple memaklumkan, pihaknya sedang bekerjasama dengan pembangun aplikasi bagi pembaikan yang sedang dalam proses untuk dilaksanakan.

Menurut syarikat itu, aplikasi pihak ketiga yang menyebabkan tercetusnya isu itu termasuk permainan Asphalt 9, Instagram dan Uber.Instagram telah menambah baik aplikasinya pada 27 September lalu.

Penambahbaikan bagi pepijat iOS 17 yang akan datang tidak akan mengurangkan prestasi dalam usaha menangani isu suhu panas iPhone.

Syarikat berkenaan, yang ibu pejabatnya terletak di Cupertino, California berkata, iPhone 15 Pro dan Pro Max tidak berdepan isu sama iaitu menjadi terlalu panas.

Ini disebabkan reka bentuk, di mana cangkerang titanium baharu yang digunakan menghasilkan pelepasan haba yang lebih baik berbanding model keluli tahan karat sebelumnya.

Apple turut berkata, isu itu tidak memberi kesan kepada risiko keselamatan atau kecederaan, malah turut dikatakan tidak memberi kesan kepada prestasi jangka panjang telefon pintar berkenaan. – REUTERS

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini