comscore
Tumpuan :
Hiburan

Kenyataan A. Aida tidak wakili FINAS

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menegaskan kenyataan penerbit drama, Datuk A Aida berhubung isu utamakan paras rupa berbanding bakat bukan mewakili perbadanan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim berkata, pihaknya memilih tidak menyebelahi sesiapa susulan kenyataan dibuat A Aida yang menerima respon berbeza penggiat seni.

Ini termasuklah polemik antara A Aida dengan aktor berbakat, Amerul Affendi dan terbaharu, Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas.

“Saya ingin tegaskan, pandangan A Aida bukan atas kapasiti Ahli Perbadanan FINAS, sebaliknya berdasarkan pengalamannya sebagai penerbit.

“Saya tidak mahu mengeruhkan keadaan bagi menjaga keharmonian dan kelestarian hubungan penggiat industri.

“Lagipun, saya mengenali mereka, khususnya A Aida yang juga Ahli Perbadanan FINAS,” katanya kepada BH Online ditemui di FINAS Hulu Kelang, hari ini.

Terdahulu, kenyataan penerbit drama Sekali Lagi Cinta Kembali itu mengutamakan pelakon bersandarkan paras rupa kerana percaya bakat boleh digilap mencetuskan pelbagai reaksi termasuk kenyataan Amerul dan Adam yang membidas pendirian A Aida.

Bagaimanapun, Md Nasir menyifatkan, ketegangan antara A Aida dengan penggiat seni sebagai sesuatu positif kepada industri perfileman kerana ia menunjukkan keprihatinan dan tanggungjawab demi memastikan industri perfileman negara berada dalam landasan betul.

“Kontroversi ini ada baik dan buruk. Ini kerana isu yang ditimbulkan membolehkan kita melihat faktor yang dapat mempengaruhi kejayaan industri perfileman negara,” katanya.

Md Nasir berkata, dia menghargai kepelbagaian bakat tanpa sebarang diskriminasi.

“FINAS menghargai anak seni tanpa membezakan paras rupa, fizikal, bangsa, agama, kelayakan akademik, latar belakang dan sebagainya.

“Secara peribadi, bakat perlu diutamakan, lain-lain hanya aksesori. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini