comscore
Tumpuan :
Jenayah

Cubaan masuk Sabah gagal, juragan dan 12 PATI ditahan

Oleh Safwan Sawi

TAWAU: Seorang juragan warga Indonesia ditahan kerana cuba menyeludup 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini menggunakan sebuah bot penumpang di kedudukan 1.2 batu nautika barat Jeti CIQ Tawau, di sini, semalam.

 

Juragan berusia 32 tahun itu bersama 12 PATI warga Indonesia berusia antara 18 hingga 61 tahun ditahan kira-kira jam 10.30 pagi oleh
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia(Maritim Malaysia) yang sedang menjalankan Ops Pluto, Ops Sejahtera dan Ops Tiris.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, ketika sedang menjalankan rondaan di sektor operasi mengesan sebuah bot bergerak laju dalam keadaan mencurigakan dari arah Pulau Sebatik.

Ketika penahanan bot penumpang itu, tiba-tiba juragan bot bertindak nekad terjun ke laut bagi melepaskan diri.

“Namun tindak balas pantas anggota APMM berjaya menahan semula juragan berkenaan. Hasil pemeriksaan, didapati juragan adalah warga Indonesia berusia 32 tahun.

“Manakala 12 lelaki masing-masing berusia awal 18 hingga 61 tahun juga dipercayai warga Indonesia tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Tambahnya, semua barangan termasuk bot penumpang, enjin bot, barangan peribadi disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM30,000.

“APMM akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di Perairan Timur Sabah (ESSZONE).

“Kerjasama dengan agensi-agensi lain akan terus diperkukuhkan demi memastikan undang-undang negara sentiasa dipatuhi,” katanya.

Loading...
Terkini