comscore
Tumpuan :
Jenayah

Direnjat, dikurung dan dipaksa makan babi 

Oleh: Ain Shafiqah Zaki

SEPANG: Direnjat elektrik, dikurung dalam bilik gelap dan dipaksa makan daging babi.

Itu peristiwa hitam yang tidak akan dilupakan seorang wanita berusia 40 tahun selepas menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Myawaddy, Myanmar sebelum berjaya diselamatkan.

Mangsa terperangkap selepas terpedaya dengan tawaran bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di Thailand yang menawarkan gaji 50,000 baht pada Ogos tahun lalu.

Wanita berasal dari Kota Belud, Sabah ini dahulunya bekerja sebagai jurulatih selam.

Selepas terpedaya dengan tawaran sindiket terbabit, mangsa diseludup ke Myanmar sebelum dipaksa menjadi ejen ‘scammer’ bersama puluhan lagi mangsa lain yang juga dipercayai rakyat Malaysia.

“Kami tidak dapat capai target maka kami akan didenda. Macam renjatan elektrik, ada yang dipukul yang lain kadang ada yang masuk bilik hitam juga.

“Dari segi makan dan minum tiada masalah cuma yang Muslim terpaksa makan daging babi,” ujarnya yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang tadi.

Menurut wanita malang ini, keluarganya turut berhabis puluhan ribu ringgit kononnya sebagai tebusan untuk membawanya pulang ke tanah air sejak tahun lalu namun ternyata ia hanya ‘janji angin’ oleh pihak sindiket.

Bagaimanapun wanita ini berjaya diselamatkan selepas keluarganya menghubungi pihak Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) untuk meminta bantuan membawa mangsa pulang.

Kepulangan mangsa ditemani wakil MHO, Azirul Syafiq Sazali yang menjadi individu mengendalikan usaha menyelamatkan mangsa dengan bantuan rakan strategik di Myanmar termasuk pihak berkuasa Thailand.

Turut hadir menunggu kepulangan mereka, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, dan Penasihat MHO merangkap Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan.

Loading...
Terkini