comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kakitangan kerajaan berhutang lebih RM800,000 akibat diperdaya Macau Scam

Foto hiasan

Hulu Selangor: Kakitangan kerajaan mengalami kerugian RM822,938 sehingga terpaksa berhutang dengan dua bank berlainan selepas menjadi mangsa penipuan Macau Scam, kelmarin.

Mangsa berusia 33 tahun menerima panggilan daripada lelaki menyamar sebagai kakitangan syarikat penghantaran memaklumkannya membuat kiriman kad pengenalan dan kad bank untuk dihantar ke Miri, Sarawak.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, mangsa kemudian dimaklumkan individu terbabit bahawa maklumat peribadinya digunakan orang lain.

“Suspek kemudian mengarahkan mangsa untuk berhubung dengan dua lagi lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis.

“Suspek memaklumkan wanita itu mempunyai rekod jenayah membabitkan kes pengubahan wang haram dan penyeludupan dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, suspek kemudian meminta butiran maklumat peribadi dan perbankan milik mangsa.

“Mangsa mendapati wang di dalam akaun banknya berkurangan sebelum mengambil keputusan untuk membuat laporan polis pada 11.34 pagi kelmarin,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini