comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Makmal proses dadah di Manjung tumpas

 

IPOH: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang menjadikan sebuah rumah di Kampung Bahru, Lumut sebagai makmal memproses dan membungkus bahan terlarang itu .

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam serbuan selasa lalu, pihaknya merampas dadah disyaki heroin seberat hampir 15 kilogram bernilai hampir RM200,000 .

Ujarnya, serbuan dilakukan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman turut menahan 4 lelaki berusia antara 23 hingga 52 tahun.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan di dalam rumah, polis  telah menjumpai dan merampas sejumlah dadah dipercayai jenis heroin dengan anggaran berat 14.9 kilogram dianggarkan bernilai RM199,727”, katanya dalam satu kenyataan.

Turut dirampas sejumlah peralatan dan bahan kimia yang digunakan untuk memproses serta membungkus dadah.

Susulan serbuan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun di Pokok Asam, Taiping  dipercayai turut terlibat dalam kegiatan  berkenaan.

Ujian saringan air kencing  ke atas kesemua suspek didapati negatif dadah .

Empat daripada lima yang ditahan  mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

Polis turut menyita sebuah kenderaan bernilai RM40,000 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Siasatan mendapati kesemua suspek mula aktif dalam pengedaran dadah sejak awal 2023 dan terlibat dalam pemprosesan dadah sejak Mac lalu.

Dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan dan boleh digunakan 22,400 penagih.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya1952.

Kesemua suspek direman  7 hari sehingga 30 Mei ini.

Loading...
Terkini