comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis serbu kilang minyak masak jadi makmal proses dadah 

 

Oleh: Hilmi Abdul Malik 

 

PETALING JAYA: Polis berjaya menumpaskan sindiket dadah yang berselindung di sebalik kilang minyak masak terpakai di Kampung Bukit Cherakah, Klang sejak dua bulan lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi berkenaan berjaya melumpuhkan sindiket yang dianggarkan berjumlah lebih RM800,000.

Serbuan yang dijalankan pada 30 Januari lalu telah membawa kepada tangkapan dua orang suspek dimana kedua-duanya juga didapati positif dadah dan mempunyai rekod lampau.

“Menerusi serbuan, polis berjaya merampas sebanyak 440 gram kristal methamphetamine, 1,030 gram cecair methamphetamine dan lebih kurang 53 kilogram serbuk dadah, pelbagai peralatan dan bahan bagi tujuan penghasilan dadah.

“Tangkapan bagi kes ini merupakan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun dan bekerja sebagai penghantar barang dan seorang lelaki warga asing berumur 37 tahun yang merupakan buruh binaan selain tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.

Menurutnya lagi, kesemua dadah yang diproses itu dipercayai untuk dibekalkan di sekitar Lembah Klang.

Sindiket katanya bergerak secara berpindah randah sebagai langkah untuk mengelak daripada dihidu pihak berkuasa.

Kedua-dua suspek kini dilanjutkan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi meneruskan siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini