comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis tahan dua pengedar dadah, rampas syabu bernilai RM72,000

Oleh: Safwan Sawi

SEMPORNA: Polis berjaya merampas lebih 2 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM72,000 dalam satu serbuan di kawasan Dataran Lepa, Semporna, semalam.

Dalam operasi pada kira-kira jam 7.30 malam itu, polis turut menahan dua lelaki disyaki terlibat dengan pengedaran dadah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata operasi dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat awam berkaitan pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

Menurutnya, hasil pemantauan mendapati terdapat sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua lelaki termasuk seorang warga asing berumur 36 dan 53 tahun di dalam kereta berkenaan.

Bersama-sama mereka, polis turut menjumpai satu beg berwarna biru mengandungi dua plastik bertulisan cina berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu,” katanya.

Tambahnya lagi, berat kasar dadah disyaki syabu yang dijumpai itu adalah 2,027.31 gram dan dianggarkan bernilai RM72,000.

Semua barang rampasan termasuk dadah jenis syabu, kereta, dua unit telefon pintar dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk membantu siasatan.

Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 10 Julai depan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kegiatan pengedaran dadah diminta menyalurkannya di talian 089-782020.

Loading...
Terkini