comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Suspek terlibat kes samun Akhyar Rashid, dipercayai lebih dari dua orang

 

KUALA TERENGGANU:Polis mengesahkan berdasarkan siasatan terbaharu bersabit kes pemain Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid, 25, yang diserang dua individu tidak dikenali pada malam Khamis, dipercayai dilakukan lebih dari dua orang.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor, ia berdasarkan keterangan yang dibuat oleh mangsa.

“Penyerang dipercayai lebih dari dua orang, mangsa melihat dua suspek keluar dari belakang kenderaan dan seorang dari depan”, katanya.

Mangsa dalam kenyataannya memberitahu polis, suspek menaiki kereta jenis Honda City berwarna gelap.

Jelasnya lagi, hasil pemeriksaan dari kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan atau jalan yang dilalui suspek, polis tidak menerima sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan.

“Kita telah mengatur pasukan khas dan membuat pemeriksaan CCTV di kawasan yang disyaki dilalui oleh suspek dan setakat ini kita tiada maklumat yang dapat mengesan suspek.

“Siasatan masih diteruskan dan saya minta orang ramai tidak membuat persepsi dan spekulasi tentang penglibatan mangsa di dalam lain-lain kes”,ujarnya.

Dalam perkembangan lain, dua saksi awal kejadian iaitu kakak dan seorang pekerja syarikat penghantaran makanan telah dipanggil bagi membantu siasatan.

Setakat ini polis membuat kawalan ketat di kawasan rumah mangsa.

Akhyar yang lebih mesra dipanggil Mat Yat diserang oleh suspek berhampiran sebuah kondominium di Kuala Terengganu dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mengalami kecederaan di kepala, kaki kiri dan lengan kiri.

Mangsa yang juga pemain bola sepak kebangsaan itu tiba di kawasan kediamannya selepas selesai sesi latihan bola sepak di stadium di Gong Badak, Kuala Nerus.

Suspek yang memakai ‘mask’ dan menutup kepala dengan baju hoodie, memukul mangsa menggunakan besi yang boleh laras.

Mangsa kehilangan beg tangan berharga kira-kira RM4,000, dompet bernilai RM800, kad pengenalan dan lesen memandu, dengan jumlah kerugian lebih RM4,800.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini