comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Tahanan lolos: 10 lagi ditangkap polis 

 

TAPAH: Polis berjaya menahan 10 lagi tahanan lelaki yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor pada Khamis lalu di ladang kelapa sawit Kampung Senta, Bidor kira-kira jam 3.00 petang tadi.

Penahanan itu menjadikan jumlah tangkapan setakat jam 6.30 petang tadi sebanyak 51 tahanan berjaya diberkas.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kesemua tahanan berkenaan terbabit adalah lelaki etnik Rohingya yang ditangkap di kawasan ladang kelapa sawit.

“Kejayaan ini adalah hasil gerakan pencarian anggota polis dan juga daripada maklumat orang awam. Jumlah tangkapan keseluruhan sehingga kini adalah seramai 51 orang.

“Tangkapan tahanan berkenaan dibuat di sekitar kawasan pentadbiran Tapah meliputi kawasan Bidor dan Tapah, ” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Yusri berkata, pihak polis percaya masih ramai lagi tahanan yang lolos berada di hutan dan kampung dekat sekitar Bidor serta Tapah.

Katanya, pihak polis juga menyeru orang ramai bekerjasama dengan pihak polis untuk mengesan tahanan berkenaan dan jangan membuat sebarang spekulasi yang boleh menyukarkan lagi situasi semasa.

Sehubungan dengan itu, sekiranya orang ramai mempunyai maklumat berhubung tahanan terbabit diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah, Asistan Superintendan (ASP) Noor Irwan Abd Ghani di talian 017 3168097 atau Bilik Gerakan IPD Tapah di talian 05 4011222.

Loading...
Terkini