comscore
Tumpuan :
Jenayah

Wang, hutang motif pembunuhan 3 lelaki warga Sri Lanka

KUALA LUMPUR: Wang dan hutang dipercayai motif pembunuhan tiga lelaki Sri Lanka di sebuah rumah di Jalan Perhentian Kampung Kovil Hilir, Sentul, di sini, pada 22 September lalu.

Antara ditahan termasuk sepasang suami isteri iaitu ibu dan bapa kepada salah seorang mangsa kerana disyaki terbabit dalam pembunuhan itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, siasatan kes itu sudah selesai dan dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan.

“Kita percaya motif kejadian ini ada kaitan dengan wang, hutang, bayaran dan sebagainya.

“Siasatan juga sudah selesai dan kita sudah menerima arahan untuk menuduh empat individu warga Sri Lanka (di mahkamah) termasuk seorang suspek yang meninggal dunia semasa dalam tahanan polis pada 30 September lalu.

“Sebelum ini, kita tahan lapan individu dan empat daripadanya sudah dibebaskan. Kita akan melihat sama ada mereka yang dibebaskan itu akan dijadikan sebagai saksi pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azry Akmar Ayob dan Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari.

Mengulas mengenai keadaan mayat ketiga-tiga mangsa ketika ditemui, Allaudeen berkata, tiada tanda dera ditemui pada mayat mereka.

“Tidak ada tanda-tanda (mangsa) diseksa.

Hasil siasatan dilakukan, kita percaya mereka diikat dan dilemaskan.

“Ia seiring dengan keputusan bedah siasat terhadap mangsa dengan punca kematian adalah lemas,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

 

Loading...
Terkini