comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Anak MB Perlis dituduh kemuka tuntutan palsu untuk perkhidmatan minuman Raja Perlis

Tertuduh, Mohd Syafeeq Mohd Shukri, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Salha Hamzah.

Oleh: Selwam Arjunan

KANGAR: Anak Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli hari ini dituduh di Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bagi tuntutan bernilai RM19,505.10.

Tertuduh, Mohd Syafeeq Mohd Shukri, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Salha Hamzah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menyediakan dokumen Pesanan Bekalan Perkhidmatan Kerajaan Negeri Perlis dengan niat memperdayakan berjumlah RM19,505.10 bertarikh 14 Februari 2024 yang mengandungi butiran palsu.

Dia didakwa menyerahkan dokumen atas nama Mohd Farid Abdul Hamid itu kepada Pembantu Tadbir di Bahagian Pentadbiran Daerah, Nurul Nabilah Mohd Shukri di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis bagi perkhidmatan menyediakan minuman untuk kegunaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail di Hospital Tuanku Fauziah.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Bahagian Pentadbiran Daerah di Pejabat Setiausaha Kerajaan Perlis 19 Februari 2024.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Sabit kesalahan, membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000.

Hakim membenarkan jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 28 Jun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini