comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bapa 5 anak didakwa laku amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak 9 tahun

R Kenggantharan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan, bulan lalu. FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan, bulan lalu.

Tertuduh, R Kenggantharan, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Berdasarkan dua kertas pertuduhan itu, lelaki terbabit didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun lapan bulan.

Dua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Taman Bukit Mewah, Tampoi di sini, kira-kira jam 6.30 petang, 30 Ogos lalu.

Bagi dua perbuatan terbabit, bapa lima anak itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) yang masing-masing membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Wahida Shahudin tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh memandangkan perbuatan itu di bawah kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan jumlah jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan tertuduh diikat jamin.

Beliau turut mencadangkan tiga syarat tambahan jaminan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu saksi dan mangsa sehingga kes selesai, lapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sekiranya ada.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan dia diikat jamin dengan jumlah yang rendah memandangkan dia tidak bekerja.

“Saya ada anak lima orang dan saya tidak kerja kerana jaga anak. Hanya isteri saya sahaja yang bekerja. Saya tak buat (kesalahan) puan,” katanya yang juga rakan kepada ibu mangsa.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta tiga syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam pada 9 November depan.

Loading...
Terkini