comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Jurulatih taekwando mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual ke atas 5 budak

Ahmad Munir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Shah Alam hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap lima kanak-kanak perempuan. FOTO: NSTP

Shah Alam: Jurulatih taekwando didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap lima kanak-kanak perempuan pada September dan Oktober lalu.

Tertuduh, Ahmad Munir Zainuddin, 20 bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Mengikut kertas pertuduhan, Ahmad Munir yang juga penuntut sebuah kolej swasta di Lembah Klang didakwa melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia 7 hingga 11 tahun.

Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga disebat, jika sabit kesalahan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah dewan di Seksyen 24 di sini antara September hingga 28 Oktober lalu.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan melaporkan diri setiap 1 haribulan di balai polis berdekatan, menyerahkan pasport kepada Mahkamah dan tidak boleh mengganggu mangsa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nabilah Abd Rashid manakala tertuduh diwakili peguam ‘Adil Safwan Ahmad Shaffie.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Disember depan.

Terdahulu, tertuduh tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 8.50 pagi diiringi pasukan Bahagian Siasatan Jenayah (CID) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Sebelum ini media melaporkan seorang tenaga pengajar seni mempertahankan diri ditahan di sebuah pasar raya di sini kira-kira jam 4 petang pada 2 November lalu.

Penahanan suspek dilakukan selepas polis menerima lima laporan berkaitan mencabul kanak-kanak perempuan berusia 7 hingga 11 tahun.

Siasatan terhadap suspek yang direman selama tujuh hari sebelum ini mendapati suspek menggunakan alasan mahu membetulkan tali pinggang mangsa di dalam tandas sebelum melakukan perbuatan jenayah.

Loading...
Terkini