comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bapa terajang anak didakwa miliki parang

Foto hiasan

KUALA KANGSAR: Seorang lelaki yang ditahan kerana menumbuk dan menendang anak kandungnya yang berusia 12 tahun, hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah parang, minggu lepas.

Tertuduh, Mohamad Zairi Mohamad Nawi, 37, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki parang berhulu plastik berwarna merah tanpa sebarang maksud yang sah di tepi jalan Kampung Perah, Gerik, kira-kira 3.45 petang pada 30 Oktober.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Firdaus Nor Azlan tidak menawarkan sebarang jaminan, sementara tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak merayu untuk diberi jaminan, selain memaklumkan tiada ahli keluarga yang hadir untuk menjamin dirinya.

Hakim, Rohaida Ishak, menetapkan sebutan semula kes untuk lantikan peguam pada 6 Disember ini dan tiada jaminan dibenarkan.

Pada 30 Oktober, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun cedera akibat ditumbuk dan ditendang bapa kandung semasa berada di rumah ibu saudaranya di Kampung Perah, pada petang 29 Oktober.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, memaklumkan siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika suspek berusia 37 tahun itu datang ke rumah pengadu yang merupakan wanita warga Thailand berusia 35 tahun, pada kira-kira 5 petang.

Beliau berkata suspek kemudian bertindak menumbuk dan menendang belakang badan kanak-kanak itu, serta melibas sebilah parang yang berada di tangannya dan hampir mengenai mangsa. – BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

 

Loading...
Terkini