comscore
Tumpuan :
Nasional

SKMM turunkan 640 bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dalam talian

Ketua Jabatan Pusat Keselamatan Komunikasi SKMM, Saidatul Ashikin Abu Hassan (kiri) pada sesi forum di Konvensyen Mengenai Perlindungan Murid Daripada Eksploitasi Seksual di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. – FOTO: NSTP

SHAH ALAM: Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) menurunkan sebanyak 640 kandungan dalam talian membabitkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak bagi tempoh 2023 hingga 1 Mac tahun ini.

Ketua Jabatan Pusat Keselamatan Komunikasi SKMM, Saidatul Ashikin Abu Hassan berkata tindakan berkenaan adalah sebahagian daripada penguatkuasaan bagi membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak oleh agensi itu.

Ia dilakukan hasil kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Polis Antarabangsa (INTERPOL).

“Ini merangkumi aspek penguatkuasaan dan tindakan sekatan terhadap kandungan atau laman sesawang berkaitan pedofilia dan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak,” kata Saidatul Ashikin.

Beliau berkata demikian dalam Forum Ke Arah Melindungi Kanak-Kanak Usahasama, Peranan dan Sokongan Pihak Berkepentingan di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SUK), di sini hari ini.

Ia diadakan semasa Konvensyen Kebangsaan Mengenai Perlindungan Murid Daripada Eksploitasi Seksual.

Pada forum itu, Saidatul Ashikin mendedahkan satu kajian oleh ECPAT, INTERPOL dan UNICEF menunjukkan sekurang-kurangnya empat peratus kanak-kanak Malaysia yang juga pengguna aktif internet mengalami empat jenis eksploitasi seksual.

“Yang pertama, mereka ditawarkan hadiah atau wang untuk berkongsi gambar dan video seksual mereka dan yang kedua ialah mereka ditawarkan hadiah untuk melakukan perbuatan seksual secara peribadi.”

“Seterusnya ialah ‘sextortion’ di mana mereka akan memeras ugut kanak-kanak. Yang terakhir, mereka akan menghubungi kanak-kanak itu semula dan mengugut mereka jika mereka tidak berkongsi (gambar bogel) mereka akan menyebarkan gambar itu kepada ibu bapa dan rakan sekolah mereka,” katanya.

Jelas Saidatul Ashikin, kerana tidak mahu mengecewakan ibu bapa mereka, kebiasaannya kanak-kanak terbabit berulang kali bersetuju dengan pelakunya.

Sementara itu, Saidatul Ashikin turut meminta guru-guru memberi penerangan kepada ibu bapa mengenai keselamatan internet menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Katanya ia merupakan perkara asas penting yang kurang dititikberatkan dalam masyarakat dan perlu diubah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini