comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Datuk rogol cucu dipenjara 10 tahun

 

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki warga emas dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan dikenakan 14 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua cucu tirinya.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas tertuduh yang berusia 68 tahun didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang  ketika kejadian berusia tujuh tahun 11 bulan di sebuah rumah di daerah ini antara jam 2.00 petang hingga 7.00 malam, pada Oktober 2022.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dan adik perempuannya yang ketika kejadian berusia enam tahun lima bulan di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTKK) 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan dua sebatan serta dua tahun penjara dan dua sebatan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bagi pertuduhan satu dan dua berjalan serentak.

Manakala hukuman penjara bagi pertuduhan ketiga bermula selepas selesai menjalani hukuman penjara bagi pertuduhan pertama dan kedua.

Selain itu, tertuduh turut diarahkan berada dalam pengawasan polis selama setahun mengikut Seksyen 27 AKSTKK 2017 sebaik tertuduh selesai menjalani hukuman penjara.

Loading...
Terkini