comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Tetak rakan hingga telinga dan jari manis hampir putus, lelaki mengaku tidak bersalah 

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas kesalahan mencederakan rakannya sehingga menyebabkan jari manis kiri putus selain hampir putus telinga kiri.

Tertuduh, Muhammad Hafiz Izzuddin Yusof, 26 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas seorang lelaki yang ketika kejadian berusia 35 tahun menggunakan sebilah parang.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Gong Kijang, Kuala Terengganu, jam 8 malam pada 11 Disember 2023.

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 24 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini