comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Doktor gigi palsu ‘diheret’ ke mahkamah


BANGI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius kegiatan doktor palsu yang dikesan masih aktif menawarkan perkhidmatan secara haram di negara ini.

Terbaru seorang wanita dijatuhi hukuman denda RM62,000 atau penjara setahun selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengamal dan menjalankan kegiatan klinik pergigian secara haram.

Tertuduh, Nur Aqila Ahmad Sabri, 29, dijatuhi hukuman itu oleh hakim, Effandi Nazila Abdullah di Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi di sini, Selasa lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 4(1) kerana menyediakan klinik pergigian tanpa berdaftar di bawah Seksyen 27, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1988.

Wanita terbabit turut dituduh mengikut Seksyen 62(1) Akta Pergigian 2018 kerana menjalankan amalan pergigian tanpa didaftarkan.

Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Izwan Abd Hamid.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota Unit Penguatkuasa Bahagian Kesihatan Pergigian Jabatan Kesihatan Negeri Selangor melakukan pemeriksaan mengejut terhadap premis di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi di sini, pada 26 Julai tahun lalu.

Siasatan dilakukan selepas premis itu disyaki menyediakan rawatan klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain dikendalikan individu tidak berkelayakan.

Ketika pemeriksaan, tertuduh didapati menjalankan rawatan veneer terhadap seorang pelanggan di sebuah bilik.

Tertuduh gagal menunjukkan dokumen sah bagi mengesahkan premis itu adalah klinik pergigian swasta (KPS) berdaftar dengan kementerian.

Wanita itu gagal mengemukakan bukti perakuan pendaftaran dan perakuan pengamalan tahunan semasa sebagai pengamal pergigian berdaftar.

Hasil serbuan itu menemui bukti peralatan pergigian, bahan pergigian dan ubat digunakan suspek.

Semakan dengan Majlis Pergigian Malaysia (MPM) mendapati suspek bukan pengamal pergigian berdaftar dengan MPM.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini