comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pendakwaan tutup kes rasuah Zahid, hujahan 1 September

SHAH ALAM: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) hari ini menutup kes mereka selepas memanggil 18 saksi.

Perkara itu diputuskan selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran yang mengetuai pasukan pendakwaan memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Yazid Mustafa bahawa kes ditutup kerana saksi ke-18 juga saksi terakhir memberi keterangan.

Demikian itu Mahkamah memerintahkan pihak pembelaan untuk memfailkan hujahan bertulis pada 29 Ogos ini dan pihak pendakwaan pada lima September.

Tarikh lain ditetapkan satu, dua, lima hingga lapan September untuk kedua-dua pihak berhujah secara lisan sebelum mahkamah memutuskan sama ada membebaskan bekas Timbalan Perdana Menteri itu atau memerintahkannya membela diri.

Sepanjang prosiding pihak pendakwaan menawarkan 27 saksi kepada pihak pembelaan termasuk bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Kawalan dan Penguatkuasaan) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Wahab Mohd Yasin; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan II) Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Raja Muhammad Azhan Shah Raja Muhammad serta pegawai SPRM S. Vijaya Kumar (pengadu di dalam kes).

Dalam perbicaraan yang bermula pada 24 Mei 2021 itu, pendakwaan turut diwakili Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B. Thavani manakala Ahmad Zahid diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik, Ahmad Zaidi dan Hamidi Mohd Noh.

Ahmad Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Loading...
Terkini