comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Remaja dituduh bunuh rakan

Remaja 17 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan, hari ini atas tuduhan membunuh rakannya. – Foto NSTP

TELUK INTAN: Seorang remaja lelaki 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini, atas tuduhan membunuh rakannya.

Tertuduh yang tidak bersekolah hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Artikel berkaitan: Cemburu teman wanita diganggu, remaja bunuh dan buang mayat rakan dalam parit 

Tiada pengakuan direkodkan kerana pertuduhan membunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh didakwa membunuh P Hariaran, 21, di tepi Jalan Pasir Kampung Sungai Payung Baroh, Selekoh, Bagan Datuk antara jam 6 petang hingga jam 8.30 malam pada 20 Ogos lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut  Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang dari 30 hingga 40 tahun, jika disabit kesalahan.

Artikel berkaitan: Remaja 17 tahun bunuh rakan akan didakwa Jumaat ini

Jika tidak dihukum mati, suspek boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang dari 12 sebatan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Cheah Shuh Yuan, manakala tertuduh diwakili peguam Charanjit Singh.

Mahkamah menetapkan 5 Oktober depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Pada 23 Ogos lalu, mayat mangsa yang sudah mereput ditemui orang awam di dalam parit kebun kelapa sawit di Jalan Pasir Kampung Sungai Payung Baroh, Bagan Datuk.

Susulan itu, polis menahan suspek di kawasan Hutan Melintang, tiga hari kemudian.

Hasil soal siasat mendapati motif pembunuhan kerana suspek cemburu terhadap mangsa yang mengganggu teman wanitanya.

Loading...
Terkini