comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Tan Sri Robert Tan mengaku tidak bersalah, tipu kontrak kerajaan RM3.9 bilion

FOTO: NSTP

Oleh : Amirulhakim Lokman

KUALA LUMPUR : Pengerusi Spanco Sdn Bhd Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu Kementerian Kewangan sehingga menyebabkan syarikatnya dianugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9 bilion.

Pengakuan dibuat selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Suzana Husssin.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 27 dan 28 Februari 2019 di pejabat Kementerian Kewangan, Putrajaya.

Mengikut kertas pertuduhan, Tan didakwa telah menipu Kementerian Kewangan dengan memperdayakan Jawatankuasa Pembuka Peti Tender bagi tender bertajuk “Request For Proposal for Supply, Repair, Maintenance and Management of Government of Malaysia Vehicle Fleet”, Unit Kerjasama Awam Swasta di kementerian itu.

Ia berhubung terdapat pemilikan saham sekurang-kurangnya 30 peratus oleh Bumiputera di Spanco melalui dokumen bertajuk ‘Appendix IV (Annex i) Bidder’s Profile’.

Sehubungan itu, Tan secara tidak jujur telah mendorong Kementerian Kewangan untuk menganugerahkan kontrak bernilai RM3,966,386,628 kepada Spanco, yang mana kementerian itu tidak akan berbuat sedemikian sekiranya tidak diperdayakan.

Dia didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Hakim menetapkan tertuduh diikat jamin RM2 juta bersama seorang penjamin.

Tertuduh turut diarah menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai serta melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM setiap dua bulan dan dilarang menghubungi saksi secara terus atau melalui pihak ketiga.

Sebutan semula kes ditetapkan 4 Jun ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini