comscore
Tumpuan :
Nasional

Perempuan itu kami tak kenal, tidak pernah sembang dan tak tahu apa masalahnya – Adik mangsa 

GEORGE TOWN: “Perempuan itu (suspek) kami tak kenal. Dia duduk di situ juga. Kami tak pernah sembang dengan dia dan tak tahu apa masalahnya,” demikian luah adik kepada lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) sindrom down yang melecur di bahagian depan dan belakang badan akibat disimbah air panas dalam lif sebuah pangsapuri di Bayan Lepas, di sini semalam.

A Krishna Armi, 23, berkata mereka tidak pernah berkomunikasi dengan suspek yang melakukan perbuatan itu.

Pada hari kejadian, dia yang baru tidur selepas pulang bekerja syif malam dikejutkan ibunya kira-kira jam 10 pagi yang memberitahu abangnya, Solai Raj, 33, menangis kesakitan dengan keadaan kulit melecur dan terdapat bahagian yang sudah mengelembung.

“Dia lari naik sendiri ke rumah kami di tingkat 16 panggil emak sambil menangis. Saya bagi abang duduk dekat kipas dan dalam sejam kemudian baru dapat hantar abang ke klinik di Bayan Lepas sebelum ambulans bawa dia ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Setahu saya, abang tidak berselisih faham dengan sesiapa. Dia orang yang disenangi ramai walaupun OKU. Dia biasa berjalan bersendirian tanpa perlu ditemani untuk ke kedai dan sebagainya.

“Jadi kami hubungi pihak pengurusan dan minta periksa rakaman CCTV (Kamera Litar Tertutup) untuk tahu apa yang sebenarnya berlaku,” katanya ketika ditemui di HPP di sini, hari ini.

Krishna berkata, keluarganya sudah merujuk perkara itu kepada peguam dan berharap kes abangnya yang merupakan anak ke-13 daripada 14 beradik mendapat pembelaan sewajarnya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Pulau Pinang (HPP) Dr Goh Hin Kwang berkata, mangsa mengalami kecederaan melecur meliputi enam peratus daripada permukaan kulitnya dengan tempoh pemulihan dijangka masa kira-kira dua minggu untuk pulih sepenuhnya.

Beliau berkata, daripada segi klinikal, punca kecederaan adalah disebabkan air panas dan mangsa kini ditempatkan di Unit Perawatan Kebakaran dan dia dijangka boleh dibenarkan pulang dalam masa seminggu, jika proses pemulihan berjalan lancar.

“Dari awal kita tengok daripada segi klinikal kecederaan itu disebabkan air panas. Tapi untuk kita tahu secara pasti sama ada ia (disebabkan) asid perlu sedikit masa lagi kerana simptom (jika ada) mungkin dua tiga hari tapi dalam aspek klinikal kemungkinan besar air panas.

“Kita jangka kita kena pantau sekurangnya-kurangnya seminggu untuk lihat dari segi perkembangan luka melecur tersebut kalau semua berjalan lancar mungkin dalam seminggu sudah boleh balik paling lama dua minggu,” jelasnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini