comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 16 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan batal, tak sah – Mahkamah Persekutuan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan, 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang dicabar adalah tidak sah dan terbatal.

Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8 -1 memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen bagi mencabar peruntukan enakmen berkenaan.

Ketika membaca penghakiman, Tengku Maimun berkata, pembatalan itu kerana Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang tersebut dan intipati peruntukan tersebut adalah berkenaan perkara di bawah senarai Persekutuan yang mana hanya Parlimen mempunyai kuasa untuk membuatnya.

“Kami membenarkan permohonan petisyen untuk suatu deklarasi bahawa Seksyen 11, Seksyen 14, Seksyen 16, Seksyen 17, Seksyen 31, Seksyen 34, Seksyen 36, Seksyen 39, Seksyen 40, Seksyen 41, Seksyen 42, Seksyen 43, Seksyen 44, Seksyen 45, Seksyen 47 dan Seksyen 48 Enakmen 2019 adalah batal dan tidak sah atas alasan Badan Perundangan Negeri Kelantan atau responden membuat undang-undang berkenaan hal perkara yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya,” katanya.

Seksyen 11 merujuk kepada memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat, Seksyen 14 iaitu liwat, Seksyen 16 membabitkan persetubuhan dengan mayat manakala Seksyen 17 merujuk kepada persetubuhan dengan bukan manusia.

Selain itu, Seksyen 31 (Gangguan seksual), Seksyen 34 (Memiliki dokumen palsu, memberikan keterangan, maklumat atau pernyataan palsu), Seksyen 36 (Apa-apa yang mengkhayalkan), Seksyen 39 (Mengurangkan ukuran, sukatan dan timbangan) dan Seksyen 40 (Melakukan transaksi muamalat yang berlawanan dengan hukum syarak).

Seksyen yang turut terbatal adalah Seksyen 41 (Melakukan transaksi muamalat secara riba dan lain-lain), Seksyen 42 (Penyalahgunaan penandaan dan perbahasan halal), Seksyen 43 (Menawar atau memberi perkhidmatan maksiat), Seksyen 44 (Perbuatan sebagai persediaan untuk menawarkan atau memberi perkhidmatan maksiat), Seksyen 45 (Perbuatan sebagai persediaan melakukan maksiat), Seksyen 47 (Perbuatan sumbang mahram) dan Seksyen 48 (Muncikari).

Panel hakim juga dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd. Diah dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Turut menganggotai panel, Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P. Nalini; Datuk Mary Lim Thiam Suan; Datuk Harmindar Singh Dhaliwal; Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Sebelum ini, Nik Elin Zurina yang berasal dari Kelantan dan Tengku Yasmin Nas­tasha memfailkan petisyen terus ke Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan dan menamakan kerajaan negeri Kelantan sebagai responden tunggal.

Kedua-dua beranak itu mencabar keperlembagaan dan kesahihan 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 mendakwa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang ke atas 18 kesalahan kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang meliputi kesalahan sama.

Mengulas lanjut, Tengku Maimun berkata, dua enakmen iaitu Seksyen 13 dan Sekyen 30 adalah sah kerana Badan Perundangan Negeri Kelantan selaku responden mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang tersebut.

Seksyen 13 menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang tercela dari segi moral manakala Seksyen 30 adalah perkataan yang boleh memecahkan keamanan.

“Selaras Seksyen 83 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, kami tidak membuat sebarang perintah tentang kos,” katanya.

Pada 17 Ogos 2023, mahkamah mendengar penghujahan peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar mewakili kedua-dua pempetisyen dan Datuk Kamaruzaman Muhammad Arif mewakili Kerajaan Negeri Kelantan manakala Mohd Yusfarizal Yussoff selaku peguam pemerhati bagi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Malik Imtiaz antara lain berhujah, Badan Perundangan Negeri Kelantan tiada kuasa untuk menggubal peruntukan undang-undang tersebut kerana 18 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu bertindan dengan undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan sama.

Hujah beliau, 18 peruntukan tersebut tidak sah kerana peruntukan undang-undang jenayah yang dipertikaikan itu merupakan bidang kuasa Parlimen.

Sementara itu, Kamaruzaman berhujah, peruntukan yang dicabar itu merupakan kesalahan yang dilakukan terhadap perintah agama Islam yang termasuk di bawah Butiran 1, Senarai Negeri, bukan undang-undang jenayah yang tertakluk kepada Butiran 4(h), Senarai Persekutuan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini