comscore
Tumpuan :
Nasional

ASMC kesan 2,203 titik panas sekitar Kalimantan

Lebih 2,000 titik panas dikesan di Kalimantan, jadi punca jerebu rentas sempadan di Sarawak. – Foto: NSTP

KUCHING: Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) mengesan 2,203 titik panas di sekitar Kalimantan berbanding hanya empat di Sarawak, dalam tempoh 20 hingga 28 September lalu.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni, menegaskan data itu menyumbang kepada jerebu rentas sempadan ke negara jiran termasuk Malaysia.

“Data itu daripada ASMC, bukan dari Malaysia, jadi bagaimana mereka (Indonesia) boleh menafikan situasi seperti ini,” katanya kepada media selepas majlis di Muzium Kebudayaan Borneo, di sini, petang semalam.

Kelmarin, Kerajaan Indonesia melalui Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan (KLHK) menafikan dakwaan jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah (karhutla) di Indonesia melintasi Malaysia.

Perkara itu dinyatakan Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan, Siti Nurbaya Bakar, menerusi satu kenyataan rasmi di Jakarta pada Isnin bahawa aduan Malaysia mengenai jerebu Indonesia adalah tidak tepat.

Menurutnya, KLHK sudah memantau keadaan dan tiada jerebu rentas sempadan yang sampai ke Malaysia.

Mengulas lanjut, Dr Hazland berkata, isu jerebu rentas sempadan akan dibincangkan dalam mesyuarat Kerjasama Sosio-Ekonomi Malaysia-Indonesia (SOSEK Malindo) akan datang.

Sementara itu, satu stesen di Sarawak merekodkan kualiti udara pada tahap tidak sihat, hari ini iaitu di Sri Aman yang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 108 bermula jam 10 malam tadi.

Berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU di stesen itu kekal pada paras kuning iaitu 119 sehingga jam 11 pagi ini.

Manakala IPU sederhana direkodkan di 12 lagi stesen di Sarawak.

Sehingga jam 11 pagi, stesen IPD Serian (MCAQM) mencatat bacaan tertinggi iaitu 100 diikuti Samarahan (88), Kuching (85), Sarikei (76), Kapit (79), Bintulu (76), Mukah (75), Sibu (75), Limbang (71), Samalaju (69), Miri (68) dan ILP Miri (65).

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya.

Loading...
Terkini