comscore
Tumpuan :
Nasional

28 ditahan sertai parti liar, positif dadah

Foto hiasan

KUANTAN: Polis menahan 28 individu termasuk 12 lelaki warga tempatan dalam serbuan ke atas ‘parti liar’ di sebuah inap desa di Jalan Lama Bentong, Tras, Bentong, semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata mereka ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Bentong pada jam 12.05 tengah malam.

Siasatan awal  mendapati inap desa berkenaan disewa pada harga RM4,000 sehari.

Katanya, 16 wanita dari Thailand dan Laos berumur antara 19 hingga 44 tahun turut diberkas.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman melakukan pemeriksaan barisan pada Perhimpunan Bulanan Polis Pahang di IPK Pahang, Kuantan, hari ini. – Foto: NSTP

“Hasil siasatan awal mendapati ‘parti liar’ itu dipercayai dianjurkan oleh seorang daripada 12 lelaki terbabit yang termasuk pekebun durian.

“Seramai 16 wanita Thailand dan Laos terbabit pula didapati memasuki negara ini sebagai pelancong. Tiada rampasan dilakukan di inap desa berkenaan selepas pemeriksaan fizikal dilakukan terhadap kesemua suspek.

“Namun, hasil saringan awal mendapati 28 individu terbabit positif dadah jenis amphetamine dan ketamin. Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

”Kesemua suspek berkenaan dituduh di Mahkamah Majistret Bentong, hari ini,” katanya ketika ditemui media selepas Perhimpunan Bulanan Polis Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, hari ini.

Beliau  menasihati pengusaha inap desa supaya lebih prihatin dan tidak menjadikan premis mereka sebagai lokasi untuk penganjuran ‘parti liar’ atau kegiatan yang menyalahi undang-undang.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini