comscore
Tumpuan :
Nasional

28 kes penyakit berkaitan haba direkodkan, satu kematian 

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Sebanyak 28 kes penyakit berkaitan haba dilaporkan berdasarkan pemantauan dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga semalam.

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, ia melibatkan 19 kes kelesuan haba, 9 kes strok haba dan tiada kes kejang haba.

“Kes-kes ini dilaporkan dari Kedah (8), Perak (7), Selangor (3), Negeri Sembilan(3), Sabah (3), Perlis(2), Johor (1) dan Pahang (1).

“Seramai 23 pesakit berumur di antara 20 hingga 59 tahun, manakala selebihnya (5 orang) adalah remaja berumur di antara 13 hingga 19 tahun,” menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, terdapat satu kes kematian akibat strok haba dilaporkan di Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh, Pahang melibatkan seorang lelaki berusia 22 tahun.

Beliau dimasukkan ke hospital pada 31 Januari lalu dan meninggal dunia pada 2 Februari.

Selain itu, seorang lelaki berumur 24 tahun masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan kerana strok haba dengan keadaan masih tidak stabil.

Satu lagi kes strok haba pula melibatkan seorang lelaki berumur 22 tahun yang sebelum ini dirawat di ICU Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, Kedah telah dipindahkan ke wad biasa dan dilaporkan stabil.

25 kes lain telah mendapatkan rawatan dan sembuh.

“Sehubungan itu, KKM menasihatkan agar semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan tahap hidrasi yang mencukupi dan mengurangkan aktiviti fizikal lasak dan lain-lain aktiviti di luar rumah pada musim cuaca panas sekarang,” menurut kenyataan itu.

Orang awam boleh mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas di laman sesawang MetMalaysia (https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca- panas/) dan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat cuaca panas di laman sesawang KKM (http://www.myhealth.gov.my/cuaca-panas-a-kesihatan).

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) melaporkan Perlis telah mengalami Gelombang Haba atau suhu panas Tahap 2 iaitu suhu maksimum harian melebihi 37 hingga 40 darjah Celsius sejak 19 Mac lalu.

Sebahagian besar Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Kota Setar, Kuala Muda, Pendang, Sik, Baling, Kulim); sebahagian Perak (Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar); Kelantan (Jeli, Kuala Krai,Gua Musang);

Pahang (Jerantut, Bentong, Raub, Maran, Bera, Temerloh); Melaka (Tampin, Alor Gajah, Melaka Tengah, Jasin);

Negeri Sembilan (Kuala Pilah, Rembau, Tampin, Jelebu, Seremban, Jempol); Johor (Tangkak, Muar, Johor Bahru, Kulai, Kluang, Segamat);

Kuala Lumpur; Putrajaya dan Sepang, Selangor mengalami cuaca panas Tahap 1 iaitu suhu maksimum harian melebihi 35 hingga 37 darjah Celsius.

Pada masa sama, METMalaysia juga menjangkakan cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius masih berlaku di kebanyakan tempat di Semenanjung serta Sabah sehingga April ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini