comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 35 pasangan selamat dinikahkan dalam Majlis Walimatul Urus Perdana

KULAI: Seramai 35 pasangan pengantin telah selamat diijabkabulkan dalam satu Majlis Walimatul Urus Perdana Peringkat Daerah Kulai anjuran Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di Dewan Masjid Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Undang-undang Syariah, JAINJ, Halid Sono berkata, kesemua pasangan yang mengambil bahagian dinikahkan oleh sembilan jurunikah.

Sebelum acara nikah bermula, kesemua pasangan telah diarak masuk dari perkarangan masjid ke dewan utama kira-kira jam 8.30 pagi tadi, dan mereka turut ditemani ahli keluarga masing-masing.

“Tujuan majlis berkenaan adalah untuk meringankan beban ditanggung pasangan yang terdiri daripada golongan B40 berumur antara 64 hingga 18 tahun, mereka juga merupakan penduduk di daerah Kulai.

“Setakat ini Kerajaan Negeri Johor telah berjaya meraikan seramai 279 pengantin yang dinikahkan secara beramai-ramai,” katanya lagi.

Turut disatukan pada majlis itu adalah pasangan Mohzan Jaafar, 64 yang telah menamatkan zaman duda dengan Paridah Saaludin, 59 yang merupakan ibu tunggal.

“Saya berkawan dah lama, bagi bantuan sayur, ada orang kenalkan … bolehlah saya dah empat tahun menduda dalam masa setahun jugalah berkawan.

“Saya ke pejabat kadi Kulai, Encik Mohzan beritahu ada Majlis Walimatul Urus Mega, lepas tu saya datang dua hari saya uruskan,” katanya

Sementara itu, pasangan paling muda bernikah adalah Mohamed Aiman Abdullah dengan Nur Amira Mohamed Suffian masing-masing berumur 18 tahun.

Menurut pengantin baharu itu. mereka terlibat dengan program ini ketika ke pejabat kadi untuk daftar dan pihak pejabat kadi syorkan Majlis Walimatul Urus Mega.

“Alhamdulillah program ini menyenangkan.. semuanya disediakan, tiada bayaran cuma bayaran akad nikah dan saksi,” katanya.

Loading...
Terkini