comscore
Tumpuan :
Nasional

6,067 graduan terima ijazah, diploma sempena Konvokesyen UPSI Ke-24

TANJUNG MALIM: Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Ke-24 menyaksikan seramai 6,067 graduan bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing dijadualkan berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, esok.

Istiadat konvokesyen akan berlangsung sebanyak sembilan sesi sehingga 9 Disember ini, dan majlis perasmian akan disempurnakan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim yang juga Canselor UPSI.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata pada kali ini UPSI akan menganugerahkan ijazah dan diploma kepada 6,067 graduan termasuk lapan yang menerima secara anumerta.

Pada sesi pertama esok pagi, katanya, Canselor, Tuanku Zara Salim berkenan merasmikan majlis istiadat seterusnya menyampaikan anugerah ijazah kepada seramai 586 graduan.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 123 graduan ijazah Doktor Falsafah, 191 Ijazah Sarjana dan 272 ijazah sarjana muda dan bakinya pada sesi kedua hingga kesembilan.

“Baginda juga akan menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Prof Datuk Dr Noraini Idris yang bergiat aktif dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

 

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff

“Beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UPSI, dan juga pernah menjadi Pengarang jurnal bertaraf antarabangsa

“Selain itu, beliau juga berjaya menghasilkan lebih 30 buku secara bersendirian dan bersama rakan penyelidik bagi memantapkan ilmu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Di samping itu, pelakon dan artis Arja Lee yang mengikuti pengajian Di bawah Fakulti Muzik Dan Seni Persembahan (FMSP) akan menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan dengan tesis berjudul “Mari Bermain Congkak: Suatu Aktiviti Didik Hibur Di Arja Art Academy.”

“Saya berharap semua keluarga yang membawa graduan berhati-hati memandu dan semoga tiba di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City dengan selamat,” katanya

Loading...
Terkini