comscore
Tumpuan :
Nasional

 ‘Ada peniaga bazar Ramadan cuba ambil keuntungan melampau’ – Armizan

FOTO: NSTP

SEREMBAN: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali tidak menafikan ada berlaku kenaikan harga makanan di bazar-bazar Ramadan ketika ini.

Beliau bagaimanapun berkata kenaikan harga itu bukan semuanya berpunca daripada kenaikan bahan mentah di pasaran.

“Saya tidak menafikan ada kenaikan harga makanan tapi perlu disebut bahawa semua harga barang keperluan harian naik itu tidak betul kerana ia membabitkan tawaran dan pemintaan.”Bawang, minyak masak misalnya pernah naik tinggi sebelum ini. Saya ada terima laporan sebelum ini bahawa ada peniaga (bazar Ramadan) jual karipap sehingga RM3 sebiji tetapi bila kita pergi ke bazar berkenaan dapati ada sembilan peniaga yang menjual kuih itu dalam harga yang berbeza termasuk menjual tiga biji RM1.”

“Dalam hal ini, terletak kepada pengguna untuk memilih produk atau makanan yang rendah harganya,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Jualan Rahmah (PJR) Peringkat Negeri Sembilan di tapak PJR Garden Home, Seremban 2, di sini, petang tadi.

Datuk Armizan Mohd Ali ketika sidang media pada Program Jualan Ramadan Rahmah di Bazar Ramadan Rahmah Garden Homes Seremban 2. – FOTO: NSTP

Media sebelum ini melaporkan terdapat peniaga di bazar Ramadan yang menjual nasi putih sehingga RM3.50 sepinggan walaupun kos sebenarnya hanya 40 sen.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, pihaknya juga tidak menafikan terdapat segelintir peniaga bazar Ramadan yang cuba mengambil keuntungan melampau dengan meletakkan harga makanan tinggi dan tidak munasabah.

“Saya tidak menafikan perkara itu (harga makanan tinggi), memang ada dan bagi yang melakukan anti pencatutan, kita mengeluarkan notis untuk mereka menjawab kos struktur sehingga menggenakan harga terlalu tinggi dan sebagainya.”

“Dalam masa sama kita mengalu-alukan sebarang aduan daripada masyarakat dan kalau boleh buat aduan melalui saluran disediakan sebelum disiarkan dalam laman sosial. Bila viral dulu, pihak yang berkenaan boleh menyembunyikan bukti yang ada dan kita ada terima laporan daripada anggota penguat kuasa mengenai perkara ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini