comscore
Tumpuan :
Nasional

Akaun 3 KWSP mampu tarik pencarum baharu

Foto hiasan

Oleh: Fahiz Ariff

PETALING JAYA: Langkah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk memperkenalkan Akaun 3 yang membolehkan pengeluaran simpanan dibuat pada bila-bila masa adalah langkah positif ke arah menarik pencarum baharu.

Artikel berkaitan :  KWSP cadang tubuh akaun 3 dalam tempoh 2 tahun, pencarum boleh guna untuk pengeluaran fleksibel

Pada masa sama, ia juga mampu menyediakan alternatif menabung kepada penduduk negara ini.

Pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, percaya lonjakan besar ini cukup signifikan dalam menangani isu aliran tunai.

Artikel berkaitan : Akaun 3 KWSP beri pengeluaran fleksibel, rancang diperkenal dalam 2 tahun untuk pencarum baharu

“Kita melihat KWSP sekarang sudah bersedia untuk membuat satu lonjakan yang besar setelah lebih 70 tahun beroperasi dan secara efektif akan menjadi bank simpanan daripada sebuah dana persaraan.

Sekaligus, menggalakkan budaya menabung setiap bulan berasaskan pendapatan kepada pencarumnya dan ini satu disiplin yang baik kerana penolakan dibuat terus daripada gaji,” katanya.

Tambah beliau, langkah ini cukup menarik untuk diperkenalkan, namun KWSP perlu mempertimbangkan kaedah pengkreditan yang lebih efektif sekiranya mahu melaksanakan pengeluaran tanpa syarat secara formal.

“Perkara ini sangat menarik, kerana KWSP mempunyai rekod mengeluarkan dividen antara 5% hingga 6% sejak berpuluh tahun.

Jadi, ini memberi potensi yang besar kepada simpanan pencarum berbanding kadar dividen yang ditawarkan oleh bank-bank konvensional iaitu jauh lebih rendah.

Sekiranya mahu dilakukan secara formal, adalah lebih baik KWSP mempertimbangkan skim pengeluaran dana dari Akaun 3 yang lebih mesra pengguna seperti sistem perbankan dalam talian atau pengkreditan bayaran dalam talian,” jelasnya.

Senada dengan itu, penganalisis ekonomi, Dr Ahmed Razman Abdul Latif berpandangan Akaun 3 juga tidak akan merisikokan dana persaraan pencarum, memandangkan ia diramal hanya melibatkan sejumlah kecil pengeluaran berbanding nilai simpanan di Akaun 1 dan Akaun 2 ketika ini.

“Akaun 3 mungkin akan menjadi akaun yang tidak melibatkan peruntukan yang besar berbanding Akaun 1 dan Akaun 2 di mana pengeluaran dana daripada akaun tersebut memerlukan kriteria-kriteria lain sebagai pertimbangan pengeluaran dana.

Jadi, saya lihat Akaun 3 ini tidak melibatkan jumlah dana yang banyak dan tidak akan menjejaskan dana persaraan pekerja itu sendiri,” kongsinya.

Semalam, KWSP menyuarakan cadangan untuk memperkenalkan Akaun 3 yang membolehkan pengeluaran simpanan dibuat pada bila-bila masa.

Artikel berkaitan : Akaun 3 akan galakkan pekerja gig menyimpan dalam KWSP – Perancang kewangan

Akaun 3 yang dicadangkan itu akan berfungsi seperti akaun simpanan dan ahli boleh mengeluarkan simpanan mereka pada bila-bila masa untuk memenuhi potensi keperluan tunai kecemasan ahli.

Setakat ini, struktur skim simpanan KWSP bagi ahli berumur bawah 55 tahun terdiri daripada Akaun 1 dan Akaun 2 dengan kadar peratusan 70 peratus dan 30 peratus.

Mengikut peraturan, individu seawal umur 14 tahun sudah boleh menjadi ahli KWSP dan tidak perlu tunggu apabila mula bekerja.

Loading...
Terkini