comscore
Tumpuan :
Nasional

Aktiviti pelancongan Terengganu ditutup

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar (tiga dari kanan) ketika melawat Hospital Sultanah Nurzahirah, hari ini.
Oleh Mohd Ishak Abdillah Ngah

KUALA TERENGGANU: Semua aktiviti pelancongan, pusat peranginan, hotel serta resort di seluruh Terengganu ditutup kepada pelancong semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, bermula hari ini sehingga 30 Mac depan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata pentadbiran kerajaan negeri menerima pakai Perintah Kawalan Pergerakan seperti yang diisytiharkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Isnin lalu.

Justeru, semua kegiatan pelancongan tidak terkecuali daripada mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ), di sini, pagi tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Pasar Payang yang sering menjadi tumpuan masyarakat setempat untuk membeli barang juga turut ditutup.

Ahmad Samsuri juga menggesa semua rakyat Terengganu untuk memanfaatkan tempoh perintah kawalan pergerakan ketika ini dengan mengambil kesempatan meluangkan masa bersama keluarga.

“Luangkan masa berkualiti bersama keluarga di rumah dan keluar apabila ada keperluan sahaja. 

“Patuhilah arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan amalkan langkah pencegahan seperti saranan Kementerian Kesihatan Malaysia sepanjang masa,” katanya.

Dalam satu kenyataan media yang dibuat oleh beliau semalam, bersabit dengan pentadbiran, Kerajaan Negeri Terengganu menerima pakai Perintah Kawalan Pergerakan seperti yang terkandung di dalam Perutusan Khas Perdana Menteri mengenai Covid-19. 

Ketua Setiausaha Negara membenarkan semua penjawat awam untuk meneruskan tugas dan kekal berada di rumah. 

Walau bagaimanapun, bagi perkara yang membabitkan perkhidmatan penting negeri, ketua jabatan boleh mengarahkan pegawai yang berkenaan menyelesaikan tugas mengikut keperluan semasa. 

Loading...
Terkini