comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Anwar minta Hadi hentikan naratif kolot, jumud

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk tidak menggunakan naratif kolot dan jumud apabila mengkritik keupayaan Kerajaan Perpaduan.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut meminta Hadi membuktikan mana dasar kerajaan sekarang yang dikatakan mengkhianati orang Melayu.

“Ini dia (Abdul Hadi) kira tak betul, yang penting bukan soal jumlah majoriti ataupun tidak, yang penting dasar. Di mana dasar yang kita tinggalkan Islam, yang kita khianat orang Melayu? Yang kita curi tanah Melayu, curi saham, curi projek di mana? Ini penting kita nilai. Jangan gunakan naratif kolot dan jumud yang lalu.

“Tanya di mana bahasa, budaya, Islam, seni dan sastera yang kita lakukan. Tetapi negara ini seperti kita sebut, negara pelbagai kaum. Sementara kita angkat penghayatan Islam, kita kena jaga supaya hak yang bukan Islam itu juga dipelihara.

“Ini perjanjian kita, ini jaminan keamanan negara kita, jadi saya tidak cenderung untuk rakyat dipesongkan dengan sentimen ini,” katanya ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Pameran ‘Lukisan Orientalis: Cerminan atau Bayangan?’ di Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM), di sini hari ini.

Anwar membidas kenyataan Hadi yang mendakwa PH tidak sesuai menjadi kerajaan dan memimpin negara kerana gabungan itu dikuasai parti bukan Islam.

Ahli Parlimen Marang itu dilaporkan berkata, kerajaan hari ini lemah kerana tidak diterajui parti Melayu Islam untuk memimpin Malaysia yang majoriti rakyatnya Melayu dan beragama Islam.

Pada masa sama, Anwar berkata, terdapat dalam kalangan tokoh lama bimbang dengan usaha kerajaan membanteras jenayah rasuah secara tegas.

“Saya tahu ada kalangan tokoh-tokoh lama itu dia kata, buat apa nak korek yang lama-lama. Bukan saya korek, harta rakyat mesti dipulangkan. Kalau tengok naratif yang (tokoh) lama, kalau teliti betul-betul, dia takut dia disiasat. Kamu dah ambil, pulangkan balik, itu saja yang saya perlukan.

“Bagi saya kalau tanya kejayaan (kerajaan) apa, kita pertahankan Perlembagaan, kita tingkatkan makna bahasa, budaya, Islam, membasmi kemiskinan, keharmonian antara kaum, menghormati hak mereka, dan yang utama hentikan amalan guna kuasa dan kedudukan untuk rompak harta rakyat. Ini yang patut ditekankan oleh parti Kerajaan Perpaduan dan pembangkang,” katanya.

Loading...
Terkini