comscore
Tumpuan :
Nasional

Ban pecah, 111 penduduk dipindah ke PPS

Keadaan ban pecah yang berlaku di satu lokasi di Tanjong Karang hari ini. – Foto: NSTP

TANJONG KARANG: Sekurang-kurangnya 111 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dilanda banjir akibat dua ban pecah di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata dua lokasi itu membabitkan kawasan sekitar Kampung Baru Lembah Pantai dan Kampung Ban RB, Sungai Sireh.

Beliau berkata, kesemua mangsa terdiri daripada 38 keluarga termasuk warga emas, kanak-kanak dan bayi.

Katanya, untuk lokasi pertama (Kampung Baru Lembah Pantai), pihak bomba dikerahkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 4.47 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati kawasan rumah dihuni 92 penduduk di kawasan itu dinaiki air yang mencecah 0.5 meter.

“Banjir berlaku berikutan ban pecah di lokasi berhampiran. Hujan lebat berterusan sejak jam 2 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagi lokasi kedua pula, Norazam berkata, kejadian sama dilaporkan berlaku di Kampung Ban RB, Sungai Sireh, jam 7.30 pagi tadi.

Beliau berkata, kawasan rumah 19 penduduk di kampung itu dinaiki air sedalam 0.2 meter dan berada dalam keadaan statik.

Katanya, paras air ketika ini mula menunjukkan penurunan dan pemantauan masih dilakukan.

“Semua mangsa ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Serbaguna Kampung Baru Lembah Pantai dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Sireh,” katanya.

Loading...
Terkini