comscore
Tumpuan :
Nasional

Keputusan teruskan pencarian MH370 diketahui Mei ini

PUTRAJAYA: Keputusan untuk meneruskan pencarian bangkai pesawat Malaysia Airlines MH370 akan diputuskan selepas pertemuan dengan Ocean Infinity pada awal Mei depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, beliau sendiri akan bertemu dengan wakil firma penerokaan dasar laut itu bagi membincangkanmengenai kontrak dan cadangan misi pencarian itu.

Menurutnya, mesyuarat Kabinet yang diadakan hari ini juga tidak membincangkan mengenai perkara itu.

Katanya, kita sudah mengadakan temujanji dengan Ocean Infinity dan mereka akan datang untuk bentangkan cadangan mereka dan selepas mendengar pembentangan kita perlu buat kertas cadangan kepada Jemaah Menteri.

“Kena faham bahawa prinsipnya (fokus pencarian) adalah no find, no fee’ (tidak jumpa, tiada bayaran) jadi ada komitmen dan implikasi kewangan maka itu memerlukan kelulusan Kabinet,” katanya pada sidang media di kementeriannya di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, firma penerokaan dasar laut, Ocean Infinity dijangka membentangkan cadangan pelan baharu pencarian pesawat MH370 yang hilang 10 tahun lalu dijadualkan berlangsung pada Mei depan.

Sebelum ini Ocean Infinity melaksanakan pencarian di Lautan Hindi pada 2017 dan berakhir pada 2018.

Pada awal bulan ini, syarikat berpangkalan di Texas, Amerika Syarikat (AS) itu mendakwa mempunyai bukti saintifik baharu mengenai lokasi terakhir pesawat MH370.

Loke berkata, setakat ini, pihaknya terpaksa menunggu dahulu cadangan daripada Ocean Infinity terutama fokus carian mereka barulah sebarang keputusan dibuat.

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, sebelum ia diumumkan berakhir di Lautan Hindi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini