comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Bergaduh di stesen minyak, polis tahan 24 lelaki 

Foto tular

BUTTERWORTH: Susulan insiden pergaduhan di sebuah stesen minyak di Bagan Ajam, di sini, semalam, polis menahan 24 lelaki warga tempatan.

Kejadian itu turut tular di media sosial pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie, insiden itu menyebabkan seorang lelaki dipukul dan cedera di kepala.

Katanya hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku ekoran rasa tidak puas hati terhadap mangsa yang membuat provokasi dalam satu perarakan agama dengan membunyikan ekzos motosikal dengan kuat.

“Tindakan mangsa yang melakukan provokasi itu menyebabkan berlaku gangguan ketika perarakan keagamaan terbabit lalu menimbulkan rasa tidak puas hati.

“Kesemua lelaki yang terbabit dalam kejadian itu termasuk mangsa berusia lingkungan 16 hingga 24 tahun  ditahan bagi membantu siasatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, salah seorang suspek yang ditahan mempunyai dua rekod jenayah lampau.

“Kejadian ini menganggu gugat serta mendatangkan kekacauan kepada ketenteraman awam.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Nazri Wan Chik di talian 014-3190131,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini