comscore
Tumpuan :
Nasional

Beruang sudah ditangkap, penduduk tidak perlu lagi berkurung di rumah

Beruang matahari yang masuk ke dalam perangkap yang dipasang Perhilitan di Kampung Pengkalan Ranggon di Kerteh.-Foto: NSTP

CHUKAI: Penduduk Pengkalan Ranggon, Kerteh di sini lega selepas seekor beruang yang kerap muncul di kampung itu dapat ditangkap hari ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata beruang jenis matahari seberat 80 kilogram itu masuk ke perangkap yang dipasang Perhilitan pada kira-kira jam 6.30 pagi.

Menurutnya, kehadiran beruang jantan itu mendatangkan kebimbangan kepada penduduk kampung sebelum anggota Perhilitan mengambil keputusan segera memasang perangkap di situ pada 22 April lalu.

“Syukur hari ini beruang itu berjaya ditangkap dan kerja-kerja memindahkan beruang itu selesai kira-kira jam 12.45 tengah hari tadi dan akan dilepaskan semula ke kawasan habitat semula jadi yang sesuai untuk beruang itu,” katanya.

Sementara itu, penduduk kampung, Mohd Zaidi Ismail berkata dia berasa lega sebaik mendapat tahu beruang itu berjaya ditangkap kerana sebelum ini, kehadiran beruang itu sedikit sebanyak menjejaskan rutin harian penduduk.

Menurutnya, beruang itu turut merosakkan tanaman penduduk sehingga ada penduduk mengalami kerugian.

“Bila dapat tangkap, kami penduduk sangat lega, anak-anak pun dah boleh keluar bermain berbanding sebelum ini terpaksa berkurung di rumah,” katanya.

Anggota Perhilitan membawa beruang yang ditangkap untuk dilepaskan ke habitat asalnya.-Foto: NSTP

Rafizah Awang Him berkata dia sangat lega dan kebimbangannya sebelum ini telah berakhir selepas melihat sendiri beruang itu di dalam perangkap yang dipasang Perhilitan.

Katanya, beruang terbabit bukan sahaja menceroboh kebun penduduk, malah berani masuk ke kawasan perumahan penduduk.

“Mana tak takut, bila beruang ini masuk ke kawasan penempatan kami. Selepas ini penduduk tidak takut lagi untuk ke kebun dan membiarkan anak-anak bermain di luar kawasan rumah,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini