comscore
Tumpuan :
Nasional

Bot membawa 28 penumpang ditahan APMM di perairan Kota Kinabalu 

FOTO: Ihsan APMM

KOTA KINABALU: Bot yang membawa 28 penumpang tanpa pengenalan diri ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Kota Kinabalu, petang semalam.

Individu berusia 14 hingga 70 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.43 petang pada kedudukan 10.2 batu nautika utara Tanjung Luk Pisuk, dekat Tuaran selepas pergerakan bot mencurigakan itu dikesan radar Sistem Pengawasan Laut Sabah (SWASLA).

Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, bot peronda Maritim Malaysia dikejarkan ke lokasi bagi tujuan pemeriksaan.

“Hasilnya kita dapati nama juragan tiada dalam salinan lesen bot dan lelaki itu bersama 12 penumpang lain turut mengemukakan dokumen pengenalan diri yang meragukan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati seorang penumpang mengemukakan kad pengenalan Malaysia, manakala seorang lagi menunjukkan pas lawatan sosial.

“Empat individu lain mengemukakan sijil lahir dan selebihnya gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, bot, juragan dan penumpang diiring ke Jeti Maritim Sepanggar Kota Kinabalu untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Kes disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, selain Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.

Loading...
Terkini