comscore
Tumpuan :
Nasional

Melaka tidak benarkan ‘ratu mak nyah’

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman. – Foto: NSTP

MELAKA: Kerajaan negeri bertegas tidak akan memberi sebarang kelulusan terhadap permohonan penganjuran peragaan ‘ratu mak nyah’ yang didakwa akan diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, akhir bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, setakat ini belum ada permohonan daripada penganjur berhubung program itu dan pihaknya hanya mengetahui mengenainya menerusi media sosial.

“Permohonan belum lagi dihantar oleh penganjur tetapi kita tidak akan benarkan. Setakat ini belum ada apa-apa permohonan daripada penganjur selain saya difahamkan penganjuran itu adalah dari pihak luar,” katanya.

Poster penganjuran `ratu mak nyah’  itu yang acaranya dijangka  berlangsung pada 23 Julai ini tular di media sosial dan mendapat reaksi pelbagai pihak.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) akan memanggil penganjur program pada minggu hadapan bagi menjalankan siasatan berhubung dakwaan penganjuran itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan ada menerima laporan berhubung penganjuran yang bakal dibuat itu.

“Hanya satu laporan diterima iaitu yang dibuat di Balai Polis Banda Hilir pada Rabu lalu dan sudah merujuk hal ini kepada JAIM,” katanya.

Loading...
Terkini