comscore
Tumpuan :
Nasional

Melaka pertimbang syarat perdengar lagu Negaraku setiap Isnin diperluas kepada premis swasta

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bersama tetamu menyanyikan lagu patriotik pada Malam Ambang Merdeka peringkat negeri di Dataran Sejarah Ayer Keroh, Melaka. – Foto: NSTP

AYER KEROH: Kerajaan negeri akan mempertimbangkan syarat kepada pekerja pasar raya serta premis swasta di negeri itu untuk menyanyikan lagu Negaraku dan Melaka Maju Jaya pada setiap pagi Isnin, menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Katanya langkah terbabit  susulan arahan kepada semua pejabat kerajaan di Melaka yang mewajibkan dua lagu patriotik itu, setiap Isnin jam 10 pagi.

“Kita akan lihat kesesuaiannya, mungkin akan diperluaskan ke lokasi tumpuan ramai pada masa yang sesuai nanti,” katanya selepas menyampaikan amanat pada sambutan Malam Ambang Merdeka peringkat negeri di Dataran Sejarah di sini malam tadi.

Lebih 30,000 pengunjung membanjiri lokasi sambutan berkenaan yang diadakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2023 hari ini.

April lalu, kerajaan negeri mengeluarkan pekeliling mewajibkan semua pejabat jabatan dan agensi kerajaan memperdengarkan lagu Negaraku dan Melaka Maju Jaya pada jam 10 pagi setiap Isnin.

Semua kakitangan serta individu yang mendengarnya pula perlu berdiri sebagai tanda hormat.

Sementara itu, Sambutan Ambang Merdeka disambut meriah dengan persembahan pentas termasuk beberapa acara hiburan patriotik.

Antara yang membuat persembahan adalah tarian Sireh Pinang dan tarian Tualang Tiga oleh pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek Persembahan Gendang 24 Musim pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yok Bin, tarian tradisional India dari murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kubu serta artis, Datuk Aishah.

Tepat detik jam 12 tengah malam, Ab Rauf mengetuai laungan Merdeka sebanyak tujuh kali, disusuli nyanyian lagu Negaraku, Melaka Maju Jaya serta beberapa lagu patriotik.

Pertunjukan bunga api turut mewarnai ruang udara Ayer Keroh selama 10 minit.

Loading...
Terkini