comscore
Tumpuan :
Nasional

Dakwaan MP Rantau Panjang curi air pili bomba, JBPM akan ambil tindakan 

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (kanan) diiringi Anthony Loke dan Cha Kee Chin merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban. Foto Mohd Amin Jalil.

SEREMBAN: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyerahkan sepenuhnya kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mengambil tindakan berhubung dakwaan Ahli Parlimen pembangkang mencuri air dari pili bomba.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata tindakan boleh diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada iaitu di Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

“Mana-mana pihak atau individu yang mencuri air daripada pili bomba tanpa kebenaran adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

“Mereka yang ingin berbuat demikian perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada pihak bomba. Ia penting kerana apabila berlaku kejadian kebakaran, pihak bomba akan mengalami kesukaran dari segi tekanan dan isipadu air sekali gus boleh menjejaskan kepentingan keselamatan rakyat.

“Tahun lalu sahaja kehilangan harta akibat daripada kebakaran mencecah RM1.3 bilion dan ini satu perkara yang cukup serius. Oleh itu saya serahkan kepada jabatan itu siasatan dan mengambil tindakan (kes Ahli Parlimen mencuri air mengikut peruntukan akta,” katanya selepas merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban, di sini, hari ini.

Kor Ming mengulas tindakan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff yang didakwa menyediakan penghantaran air percuma di kawasan Parlimen berkenaan dengan menyediakan lori tangki besar dan pam penyedut dengan mengambil air dari pili bomba sebelum dihantar ke kampung terjejas.

Bagaimanapun, Siti Zailah menafikan mencuri air daripada pili bomba sebaliknya mendakwa tindakannya itu mendapat kebenaran pihak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) serta JBPM Kelantan.

Kor Ming berkata, mereka yang melakukan kesalahan berkenaan boleh dikenakan kompaun RM100 hingga RM500, namun jika kesalahan kedua tidak boleh dikompaun dan akan didakwa di mahkamah.

Beliau menggesa individu terbabit supaya memohon maaf kepada JBPM dan tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak benar.

“Ahli Parlimen berkenaan mendakwa mendapat kebenaran daripada bomba, tapi dalam siasatan dan Pengarah JBPM negeri sudah mengesahkan bahawa tiada sebarang kebenaran diberikan.

“Jadi, kelakuan ini tidak baik dan saya serahkan kepada pihak bomba untuk jalankan siasatan lanjut dan ambil tindakan,” katanya.

Loading...
Terkini