comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Dr Akmal ditahan

Foto: UMNO / Facebook

Oleh: Ridhuan Hussain

KOTA KINABALU: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Muhammad Akmal Saleh telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, Sabah pagi ini.

Perkara itu dimaklumkan beliau dalam satu hantaran Facebook sebentar tadi.

Menurut Dr. Muhammad Akmal, beliau sepatutnya dijadualkan akan memberi keterangan di Ibupejabat Polis Dang Wangi (IPD) esok.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.

“Saya telah ditahan di IPD Kota Kinabalu pagi ini walaupun telah dijadualkan utk memberi keterangan esok di IPD Dang Wangi. InsyAllah saya akan berikan kerjasama sepenuhnya” katanya.

Beliau menegaskan tidak akan berganjak terhadap ‘pendirian’ yang telah dibuat.

Dr. Muhammad Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin menjadi sasaran banyak pihak terhadap kempen memboikot rangkaian kedai serbaneka KK Mart yang terpalit kontroversi penjualan stoking ada kalimah Allah.

Pemuda UMNO sebelum ini memberi tempoh dua hari kepada pengurusan KK Super Mart untuk memasang kain rentang di semua 881 cawangan kedai serbaneka itu di seluruh negara bagi memohon maaf atas penjualan stoking tertera kalimah ‘Allah’.

Dr Muhamad Akmal juga dipetik memberi amaran Pemuda UMNO akan memulakan boikot lebih kuat terhadap KK Super Mart sekiranya pengurusan kedai serbaneka itu gagal mematuhi tuntutan pergerakan berkenaan.

Menerusi hantaran melalui media sosial, Dr Muhamad Akmal menegaskan, Pemuda UMNO meneruskan kempen boikot KK Super Mart dengan meminta orang ramai memeriksa sama ada pengurusan kedai serbaneka itu sudah menaikkan kenyataan permohonan maaf seperti yang dituntut pergerakan berkenaan.

Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial stoking tertera kalimah ‘Allah’ dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Pada 16 Mac, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah ‘Allah’, di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Syarikat itu berkata jualan stoking berkenaan telah dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.

Pengendali rangkaian kedai serbaneka itu turut meminta supaya pengguna tidak memboikot perniagaan berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini