comscore
Tumpuan :
Nasional

Elak jemaah jemu, Tabung Haji pelbagaikan menu juadah

Oleh: Azri Mukhlas

MAKKAH: Bagi mengelak jemaah haji berasa bosan, Tabung Haji, TH telah menambah menu juadah hidangan untuk jemaah kepada 42 jenis, berbanding hanya 28 jenis sebelum ini.

Namun, menurut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, penambahan menu hidangan kepada jemaah ini tidak menjejaskan kualiti serta penambahan kos.

“Memang kos bahan mentah yang kita peroleh daripada pembekal telah meningkat harganya dan dalam masa yang sama kita mahu kekalkan juga kualiti dan kuantiti juadah. Kita perlu menjaga kebajikan jemaah haji dari segi pemakanan yang sihat, bernutrisi dan seimbang,” katanya kepada wartawan selepas melakukan lawatan pemeriksaan ke tiga buah dapur sajian makanan yang menyediakan juadah untuk jemaah haji di Makkah.

Datuk Seri Syed Saleh berkata, TH mempunyai enam buah dapur di Makkah dan dua lagi di Madinah.

Selain itu, 18 tukang masak berpengalaman dari Malaysia turut ditugaskan menyelia penyediaan makanan kepada jemaah haji ini.

Katanya, TH juga bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, KKM bagi memastikan setiap juadah yang disediakan seimbang dari segi diet dan mempunyai nutrisi yang mencukupi.

Secara keseluruhan, Datuk Seri Syed Saleh berkata lebih dua juta pek makanan akan dibekalkan kepada jemaah haji Malaysia musim 1444H.

Beliau turut menasihatkan jemaah agar menghabiskan makanan dalam tempoh dua jam selepas ia disajikan, seperti yang tertera pada bahagian penutup pek makanan berkenaan.

Jemaah yang kami temui juga menzahirkan rasa syukur kerana kepelbagaian menu ini.

Bagi Maisarah Nasuha Ramlan, 23 yang berasal dari Raub, Pahang, menu yang disediakan TH bercitarasa Malaysia serta kepelbagaian lauk membuatkannya tidak berasa jemu.

Namun, menurut Abdul Aziz Hussin, 48, dia mencadangkan supaya sajian dibuat sedikit pedas.

“Yang penting kalau boleh pedas sedikit sebab selepas seminggu, saya mahu sesuatu yang pedas, tambahan pula saya berasal dari Melaka”, katanya ketika di temui di bangunan penginapan di Land Premium.

Loading...
Terkini