comscore
Tumpuan :
Jenayah

Empat ditahan, dadah lebih RM4.3 juta dirampas

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat menunjukkan rampasan dadah daripada sindiket yang aktif sejak April lalu pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor. – Foto: NSTP/Nur Aisyah Mazalan

JOHOR BAHRU: Satu sindiket pengedaran dadah di Kluang tumpas susulan tangkapan ke atas empat lelaki termasuk dalangnya Isnin lalu. Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata suspek usia antara 22 hingga 30 tahun ditahan dalam tiga serbuan di daerah itu antara jam 6.20 petang hingga 9.45 malam bersama dadah berjumlah lebih RM4.3 juta.

Beliau berkata sindiket itu menjadikan sebuah rumah teres dua tingkat yang disewa sebagai stor penyimpanan dadah serta bagi tujuan pembungkusan semula sebelum diedarkan ke pasaran tempatan menggunakan pelbagai jenis kenderaan.

“Sindiket ini membungkus semula dadah ke dalam pek-pek minuman seperti jus dan teh, bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Setiap pek yang dibungkus akan dijual serendah RM150 hingga RM200,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar.

Menurut Kamarul Zaman, dalam serbuan itu, pihaknya berjaya merampas 54.33 kilogram (kg) serbuk ekstasi; 7,923 biji pil erimin 5; 6,564 biji pil ekstasi; 1.22 kg ketamin dab 346 gram ganja yang semuanya bernilai lebih RM4.3 juta.

Semua dadah dipercayai diperolehi dari luar Johor.

Katanya, polis turut merampas enam kenderaan jenis kompak, sedan, mewah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) serta pelbagai barang kemas selain wang tunai RM11,000.

Beliau berkata, hasil saringan awal air kencing mendapati tiga suspek positif ketamin.

Semua suspek yang juga rakan kini direman tujuh hari bermula kelmarin sehingga Isnin depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.

Loading...
Terkini