comscore
Tumpuan :
Nasional

Gara-gara dibuang dari kumpulan WhatsApp, lelaki tikam mati rakan

Foto hiasan

JAKARTA: Hanya kerana dibuang daripada kumpulan WhatsApp, seorang lelaki naik berang dan membunuh rakannya dalam kejadian di Kampung Bojongmalaka, Baleendah, Bandung, Jawa Barat pada 29 Oktober lalu.

Tribunnews melaporkan, mangsa, Adrian, 29, meninggal dunia  akibat ditikam pada bahagian dada oleh suspek, Toto Toyiban, 36.

Ketua Polis Bandung, Kusworo Wibowo memaklumkan kejadian itu terbongkar susulan  penemuan mayat mangsa pada  jam 4 petang waktu tempatan, 29 Oktober lalu.

“Ada tiga luka kesan tikaman iaitu di dada kiri menembus ke jantung, lengan dan jari kanan,” katanya dalam satu kenyataan pada 30 Oktober.

Menurut Kusworo, identiti suspek diperoleh hasil siasatan di tempat kejadian.

Suspek  ditangkap kira-kira 7 jam selepas kejadian, di rumahnya yang berada di Kampung Cibodas, Kampung Malakasari daerah Baleendah.

Kusworo berkata, kejadian itu berpunca daripada perbalahan di kumpulan WhatsApp diberi nama geng motor XTC Beer 188.

Ia dipercayai berpunca daripada kata-kata suspek yang dianggap mangsa sebagai ejekan.

“Sehingga keesokan harinya, suspek dikeluarkan oleh mangsa daripada kumpulan WhatsApp berkenaan, ” katanya.

Menurut Kusworo, suspek mengaku sakit hati dan tidak dapat menerima dirinya dibuang daripada kumpulan WhatsApp berkenaan.

“Kemudian suspek berjumpa dengan mangsa dan bertanya mengapa dirinya dibuang.

Dalam pertemuan itu, perbalahan dan perang mulut tercetus antara suspek dan mangsa.

“Akhirnya suspek mengeluarkan pisau iaitu senjata yang dibawa setiap hari ke mana saja seterusnya menikam mangsa,” katanya.

Menurut Kusworo, kecederaan itu mengakibatkan mangsa meninggal dunia.

Suspek dijangka didakwa dan kemungkinan berdepan hukuman penjara selama 15 tahun jika sabit kesalahan. – AGENSI

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini