comscore
Tumpuan :
Nasional

GPS main peranan penting wujudkan kestabilan Kerajaan Perpaduan

KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiktiraf peranan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menyumbang kepada kestabilan politik negara ketika ini.

Anwar berkata sokongan itu membolehkan beliau mengemudi Malaysia ke arah memperkasa ekonomi dan melakar kemajuan masa depan negara.

“Saya hanya ingin menyatakan yang saya tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa Premier Tan Sri Datuk Patinggi Abang Johari dan GPS telah memainkan peranan penting dalam hal ini,” katanya

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucaptama pada Majlis Makan Malam Gala Forum Perniagaan Muslim Global di sini malam tadi.

Anwar berkata bulan-bulan pertama pembentukan Kerajaan Perpaduan telah menyaksikan mereka terpaksa berdepan beberapa “pergolakan kecil” namun beliau bersyukur kerana kerajaan itu menjadi lebih stabil selepas setahun.

“Kita (kini) boleh bercakap mengenai peralihan tenaga, transformasi digital dan kerancakan ekonomi kerana kita sudah stabil dari segi politik… kita memiliki majoriti lebih dua pertiga di Parlimen,” katanya.

Pada majlis sama, Abang Johari, dalam ucapannya, pula berkata Sarawak ingin menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global ekonomi Islam.

Beliau berkata Sarawak bukan hanya berhasrat untuk menyediakan produk dan perkhidmatan halal malah penyelesaian bagi menangani cabaran global seperti perubahan iklim serta keterjaminan makanan.

“Kami juga sedang membangunkan ekosistem sendiri bagi mentransformasi ekonomi Sarawak yang menawarkan pelaburan dan peluang perniagaan yang luas kepada dunia.

“Fokus kami adalah untuk mengalih aktiviti ekonomi ke arah model yang lebih sirkular dan melalui peralihan tenaga,” katanya.

Menurut beliau, Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 pada Oktober lepas telah dilancarkan sebagai hala tuju yang mendasari komitmen negeri itu untuk memanfaatkan teknologi digital bagi pembangunan mampan.

“Dunia Islam tidak mempunyai pilihan selain mengguna pakai teknologi dalam mengejar kemajuan, justeru itu, saya menggesa pemimpin dunia Islam untuk meneroka penggunaan teknologi dan menjadi pemain yang mampan,” katanya.– BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini